March 16, 2011

CERITA MEMBAWA KEINSAFAN ;D .

Rashid melipat sejadah. Dia baru saja menunaikan solat Asar berimamkan bapa mertuanya, Haji Sarip. Sudah tiga hari dia bercuti di kampung. Esok dia harus memulakan tugas seperti biasa. Setelah bersalaman dengan ibu dan bapa mertua. Rashid dan isterinya, Zakiah meminta diri untuk pulang. 

Tidak lama kemudian, kereta Wira Aeroback yang dipandu meluncur di jalanraya. Perjalanan dijadualkan akan mengambil masa lebih 4 jam.. Bersama dengan isteri yang dikahwininya dua tahun yang lalu. Mungkin belum rezeki, mereka belum dikurniakan cahaya mata.

Rashid tidak memikirkan sangat soal zuriat kerana perkahwinan mereka masih muda. Lagipun mereka berdua sama-sama bekerja. Cadangnya setelah ekonomi mereka kukuh sedikit, barulah merancang untuk menerima cahaya mata.

Hampir sejam berlalu, Rashid membelok memasuki lebuhraya. Bahang matahari sudah mengendur. Keremangan petang membuatkan cuaca lebih nyaman. Ketika mengerling ke wajah isterinya, Rashid tersenyum. Zakiah sudah terlena. Rashid menghidupkan radio. Mendengar lagu untuk mengatasi perasaan mengantuk. Ketika jam menunjukkan pukul 7:30 malam, Zakiah membuka mata. Dilirik wajah suaminya sepintas lalu. Sudah masuk waktu Maghrib. Kalau tidak diingatkan, pasti suaminya tidak akan berhenti untuk menunaikan solat Maghrib.

"Dah Maghrib, bang. Berhenti sekejap." Wajah Rashid kelihatan keruh. Membayangkan perasaan kurang senang mendengar permintaan isterinya. Zakiah sedia maklum. Suaminya bukan sembahyang sepanjang waktu. Hanya di depan kedua orang tuanya. Malahan di depan orang tuanya sendiri, Rashid tidak pernah sembahyang. Zakiah kesal dengan sikap suaminya, sudah puas dia memberikan nasihat tetapi langsung tidak mempan.

Beberapa kilometer kemudian, Rashid membelok masuk ke tempat rehat. Zakiah kurang yakin suaminya akan turut sama menunaikan solat Mahgrib. Selalunya Rashid lebih rela menunggu di dalam kereta atau membasahkan tekak di medan selera. Tempat rehat kelihatan sesak dengan kenderaan.

Rashid tidak menemui ruang untuk memarking kereta. Dia Menghentikan kereta, meminta Zakiah turun. "Abang tak turun sekali?" tanya Zakiah penuh harapan.

"Kiah pergilah... abang tunggu kat sini. Tak ada parking," jawab Rashid mudah. Sepeninggalan Zakiah yang turun bersama beg berisi telekung, Rashid memejamkan mata. Tempat parking masih penuh. Dia terlelap seketika, terjaga semula sewaktu Zakiah membuka pintu kereta. Perjalanan diteruskan.

"Abang tidur?" tegur Zakiah.

"Ha...terlelap sekejap. Letih rasa badan ni."

"Kalau abang letih, biar Kiah bawak."

"Tak apa...kalau tak tahan sangat Kiah bawaklah nanti."

Zakiah tidak membantah. Lagipun dia sendiri terasa penat. Hujan mulai turun membasahi jalan. Rashid memperlahankan kereta. Memandu dalam keadaan jalan licin mengundang risiko. Namun malang tidak berbau. Rashid sudah berhati-hati tetapi ada pemandu lain yang kurang memikirkan keselamatan diri dan orang lain.

Secara tiba-tiba Rashid merasakan sesuatu merempuh bahagian belakang keretanya. Dentuman yang amat kuat kedengaran. Serentak dengan itu kereta yang dipandunya melambung sebelum menghempas jalan dengan bahagian atas ke bawah.

Apabila sudah menyedari apa yang sebenarnya berlaku, Rashid berusaha keluar. Namun kakinya tersepit sedangkan Zakiah di sebelahnya tidak sedarkan diri.

"Ya Allah...selamatkan kami..." bisiknya perlahan. Terasa mukanya basah, darah merah mengalir. Orang ramai datang membantu.

Mengeluarkan Zakiah terlebih dulu. Kemudian giliran Rashid tetapi usaha mereka gagal kerana kaki Rashid tersepit.

"Tersepit... tak boleh tarik... Kena tunggu bantuan. Kita bawa dulu yang perempuan ke hospital."

Rashid berdoa dan berdoa tanpa henti agar Allah S.W.T menyelamatkan Zakiah dan dirinya.

"Bertahan, encik. Kami sudah memanggil bomba!" 



Anehnya Rashid tidak merasakan kesakitan yang sewajarnya. Boleh dikatakan kakinya tidak terasa dihimpit oleh sesuatu. Namun dia gagal untuk menggerakkannya.


"Tolong saya, encik..." pinta Rashid dengan nada sayu.


"Mengucap... cik... berdoa kepada Allah... cik akan selamat."


"Sabar encik...tak lama lagi pasukan penyelamat akan sampai." Kata-kata memberi semangat silih berganti menusuk telinganya. Dengan keremangan malam, Rashid melihat begitu ramai yang mahu membantu.


Syukur.


Pandangannya tertumpu pada seorang lelaki yang memakai jubah serba putih. Berserban dan berjanggut lebat. Kelihatan mulutnya terkumat-kamit sambil tangannya memegang tasbih.


"Ya Allah... selamatkanlah aku..."


Bunyi siren agak melegakan Rashid. Bantuan sudah tiba. Pasukan bomba dengan tangkas mengeluarkan alat kelengkapan untuk membebaskan Rashid dari himpitan. Beberapa minit berlalu, kemudian suasana menjadi sunyi apabila salah seorang anggota bomba bersuara.


"Kakinya tak tersepit apa-apa. Pelik... kenapa tak boleh keluar?"


Usaha untuk mengeluarkan Rashid terhenti. Semua yang ada di situ kebingungan. Mereka tidak mampu menarik Rashid keluar, sedangkan tidak ada apa-apa yang menghimpitnya. Rashid sendiri kebingungan. Bencana apa yang sedang menimpanya.


"Ini bukan kerja manusia macam kita... kena panggil orang yang tahu..." terdengar sebuah pendapat.


Rashid semakin gementar. Doanya tidak putus-putus. Ketika mulutnya terkumat-kamit berdoa, tiba-tiba dia merasakan seseorang berjongkok di sebelahnya. Rashid berpaling, agak tersentak melihat lelaki berjubah tadi berada di sebelahnya.


"Tuan... tolong saya tuan..."


"Saya tak boleh menolong, Yang Berkuasa hanyalah Allah Taala..."


"Saya tak berhenti berdoa, tuan. Tolonglah saya, tuan..."


"Kamu berdoa kepada siapa?" Rashid terdiam. Aneh bunyi pertanyaan lelaki itu. Dalam keadaan cemas begitu, Rashid merasakan bukan tempatnya untuk bergurau. Apatah lagi lelaki itu kelihatan seperti orang alim.


"Sudah tentulah pada Allah."


"Tetapi Allah bukanlah Tuhan kamu!"


Rashid tidak mampu hendak menggerakkan sebarang anggota. Kalau tidak, sudah pasti dia akan mengerjakan lelaki itu. Nampak saja alim, tetapi bercakap seperti orang yang tidak berilmu.


"Bukankah selama ini kamu tak pernah menyembah Allah. Kamu hanya mendirikan sembahyang di depan mentua kamu. Sedangkan di belakang mereka, kamu tidak pernah ingat pada Allah. Tidakkah kamu malu meminta pertolongan dari Allah. Kenapa kamu tidak meminta pertolongan dari mentua kamu!"


Tenggorok Rashid terasa amat kering. Dia ingin bersuara, memohon ampun atas kesilapannya selama ini, tetapi tidak ada suara yang keluar.


Lelaki berjubah itu hanya tersenyum, kemudian bangun dan meninggalkan Rashid. Rashid berusaha untuk memanggil, ingin memaklumkan bahawa dia menyesal tetapi mulutnya tidak mampu lagi dibuka. Sedangkan kesakitan mula terasa. Sesuatu yang amat berat menghimpit sehingga dia tidak mampu bernafas. Rashid cuba meronta tetapi usahanya hanya sia-sia. Tidak lama kemudian dia tidak sedarkan diri.


"Abang...bang! Abang!!"


Perlahan Rashid membuka mata. Wajah isterinya memenuhi pandangan. Syukurlah isterinya selamat. Rashid memanjatkan kesyukuran di dalam hati. Akhirnya mereka mampu keluar dari bencana.


"Sedapnya tidur... naik serak suara Kiah mengejutkan abang..."


Tidur? Rashid terpinga-pinga. Segera dia memandang sekeliling. Ya Allah! Dia masih berada di tempat rehat.


"Kiah tunggu sekejap... abang nak solat Mahgrib!" kata Rashid sambil terkocoh-kocoh membuka pintu kereta. Zakiah tercengang, senyuman merekah di bibirnya.


Anas menceritakan beliau mendengar Rasulullah S.W.T bersabda :- 



"ALLAH S.W.T BERFIRMAN : AKU TANGGUHKAN MALAPETAKA YANG SEHARUSNYA DITIMPA KE ATAS SESUATU DAERAH APABILA AKU LIHAT DI SITU ADA ORANG YANG KERAP KE MASJID, KASIH ANTARA SATU SAMA LAIN DEMI KEPENTINGAN  DAN BERSEDIA MEMOHON AMPUN PADA WAKTU TENGAH MALAM".

Sepucuk Warkah Buatmu...

"Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang"


Salam sayang untuk awak.

Awak,

Sebelum itu saya ingin menyatakan bahawa saya sangat sayang awak. Mereka pun sangat sayangkan awak. Kami tak pernah berasa tidak senang apabila dipertemukan dengan awak. Maaf, mungkin pada mulanya kami agak takut untuk mendekati diri awak. Yelah, awak seperti tidak mengendahkan kami. Seperti tidak mahu bergaul dengan kami yang tidak up to date macam awak ni.

Rupa-rupanya kami juga salah, sebenarnya awak yang malu untuk mendekati kami. Kata awak kami ni terlalu baik, dan awak juga kata bahawa kami ni tak macam awak. Apabila awak berkata begitu, terasa ada percikan api di hati. Bukan percikan api kerana marahkan awak tetapi marahkan diri sendiri. Kami sangat bersalah, kami sepatutnya menegur awak dari mula lagi. Maafkan kami, kami bukanlah yang terbaik tetapi kami akan cuba jadi yang terbaik untuk awak dan yang lain-lain.

Semasa awak mengadu tentang sesuatu, saya cuba mendengarnya. Saya ingin menyelami hati awak. Sebenarnya awak juga baik. Mungkin benar, pengaruh kawan itu penting. Sekiranya kita berkawan dengan orang yang mengajak kita kepada kemungkaran, kita pasti akan terjebak sehingga melupakan-Nya. Itu tandanya iman kita masih belum kuat.

Awak,

Sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: "Sesiapa yang lupa akan sesuatu solat, maka hendaklah ia mengerjakan solat itu jika ia telah mengingatinya, tiada tebusan lain untuk solat itu kecuali solat yang dilupakannya, sesuai dengan firman Allah yang maksudnya:" Dan dirikanlah solat untuk mengingatiKu."(al-Bukhari)

01.Solat merupakan tanda pertalian terus seorang hamba dengan Allah. Islam memfardhukan ke atas umatnya melaksanakan solat wajib sebanyak lima waktu sehari semalam.

02.Solat merupakan tiang agama. Oleh itu sesiapa yang mengerjakannya bermakna dia telah menegakkan agamanya. Manakala orang yang meninggalkannya bermakna dia telah meruntuhkan agamanya.

03.Bagi orang yang meninggalkan solat disebabkan malas atau sengaja hukumnya adalah fasik dan telah melakukan dosa besar iaitu mengabaikan salah satu daripada Rukun Islam. 

04.Sebagaimana yang ditetapkan oleh Islam bahawa solat wajib mesti dilakukan dalam apa keadaan sekalipun, maka solat wajib yang ditinggalkan dianggap sebagai hutang yang mesti dilangsaikan sebagaimana resminya setiap hutang itu wajib dibayar. Maka apabila sedar tentang kesilapan masa lalu, seorang muslim itu hendaklah segera bertaubat dan mengqadha' solatnya yang tertinggal itu.

Saya takut bila awak meninggalkan solat, sedangkan awak sendiri tahu jika meninggalkan salah satu sudah dikira bukan Islam lagi. Jangan malu untuk berubah! Pedulikan kata kawan 'syaitan' awak. Saya masih ingat lagi sewaktu awak menghantar saya ke stesen LRT, saya sudah berjanji di dalam hati ingin berterus terang dengan awak. Ingin sangat saya meluahkan secara berdepan dengan ayat yang tidak berkias. Saya rasa apa yang saya lakukan sebelum ini tidak menjadi kerana setiap kali saya menegur awak secara selingan mungkin tidak memberi apa-apa makna.

Saya juga masih mempunyai kelemahan dalam diri sendiri. Saya juga masih ketinggalan di dalam bab-bab agama, tetapi Alhamdulillah bab yang wajib tak pernah saya tinggalkan. Awak, saya mungkir janji! Saya tidak dapat mengucapkan perkataan itu secara bersemuka dengan awak. Saya sangat tidak berdaya, apakah saya tidak mampu melakukan 'Amar Maaruf, Nahi Mungkar' kepada kawan sendiri. Saya selalu gagal bila ia berkaitan dengan kawan.

Akhirnya, bila tiba di rumah barulah saya meluahkannya secara direct tetapi itupun menerusi telefon bimbit. Awak seperti mengubah topik lain, saya semakin takut. Takut awak akan terasa, tetapi ia adalah untuk kebaikan awak juga. Saya sangat sayangkan awak. Saya tidak mahu awak lalai sehingga melupakan DIA. Awak sebenarnya sangat baik sebab awak ada kesedaran dan tak pernah lari untuk semakin merapati kami.

Kata sahabat saya yang jauh lebih berilmu daripada saya, awak mungkin diberikan hidayah daripada Allah untuk berubah. Dan kami adalah orang-orang yang dipilih-Nya untuk mendekati awak. Kami tidak boleh meninggalkan awak. Kami tidak boleh tidak memperdulikan awak walau sedikit pun. Saya respect dengan sahabat saya itu. Awak, sekiranya awak membaca surat ini saya percaya awak mengerti maksudnya.

Yang Benar,

Uhibbuka fillah jiddan.