March 17, 2011

Hati Kristal . :)

...Aku masih ingat waktu aku tiba di kawasan ini. Masuk kali ini sudah empat kali aku bertukar sekolah, semuanya disebabkan pekerjaan ayahku sebagai seorang guru. Ayahku sering berpindah dari satu sekolah ke satu sekolah. Kali ini kami berpindah pula ke sebuah kawasan pekan kecil. Satu perkara yang sangat menarik perhatian aku semasa sesi untuk aku memperkenalkan diri di kelas baruku adalah satu-satunya pelajar yang tidak mengambil tahu langsung kehadiranku sebagai pelajar baru di kelas itu. Aku tidak berkecil hati, kerana apa yang aku lihat dari redup matanya yang memandang ke luar tingkap tersimpan sebuah kesedihan. Hatiku tertarik untuk mengenalinya lebih rapat. Kebetulan guru kelasku mengarahkan aku duduk di tempat duduk kosong di sebelahnya. Saat aku menanyakan namanya, dia cuma menjawab tanpa memandangku.

“Termenung jauh nampak?”tegur Zahra kepadaku.Aku hanya tersenyum. Zahra kini sudah mesra denganku,menerimaku sebagai sahabatnya. Dia merupakan sahabat yang sangat baik, walaupun aku tak mengerti sesetengah sikapnya. Miza yang selalu berbaik kepadanya selalu dilayannya dengan kasar. Setahuku, Miza merupakan adik tirinya . Ayahnya berkahwin dengan ibu Miza setelah kematian ibunya. Semua itupun aku tahu setelah diceritakan Miza. Pada pandanganku Miza seorang yang baik dan selalu ingin berbaik dengan Zahra. Cuma Zahra yang kelihatan agak kejam kepadanya. Tapi aku tahu, Zahra seorang yang baik meskipun aku tak tahu kenapa dia harus bersikap begitu. Pernah sesekali aku bertanya kepadanya,namun jawapan yang aku perolehi hanyalah senyuman pahit darinya hingga aku bosan untuk bertanya lagi.”Petang ni boleh temankan aku ke pekan tak?””Boleh,insyaAllah…nak beli apa?”soalku sekadar bertanya. “Beli hadiah untuk adik…hari ni hari lahir dia”jawabnya sambil tersenyum manis.Dia pernah bercerita kepadaku tentang satu-satunya adiknya itu. Dia sangat menyayangi adiknya dan merasa dialah orang yang paling terdekat buatnya. Dia takut kehilangan adiknya yang disahkan menghidap barah hati itu.

Petang itu kami ke kedai yang menjual cenderamata. Kulihat Zahra terlalu asyik membelek-belek barangan Kristal berbentuk hati di hadapannya. “Berkenan ke?”soalku.Dia tersenyum.”Kristal ini cantik, bersih dan jernih..saya harap hati saya pun sejernih itu…saya harap hati orang lain pun sejernih itu…”ujarnya dengan wajah yang sayu.”Saya teringat hadis Rasulullah S.A.W. ,hadis mengenai hati…Rasulullah bersabda,bila hati baik seluruh anggotanya pun akan baik..tapi macam mana dengan orang yang berbuat baik didepan orang lain tapi dengan niat yang tersembunyi..contohnya nak orang lihat dia baik…ataupun nak menarik perhatian orang lain…?”soalnya pula.”Itu salah satu sifat munafik,kan?”jawabku dengan sebuah persoalan kepadanya. Dia mengangguk dengan wajah yang sedih. “Kenapa tiba-tiba cakap macam tu pula?sedih je awak ni….”soalku lagi.”Tak ada apa sangatlah…jom kita balik”. Kami beriringan melangkah ke stesen bas untuk pulang ke rumah. Tiba-tiba Zahra berhenti dan memandangku sayu. Aku turut berhenti memandangnya hairan.”Terima kasih sebab sudi jadi sahabat saya walaupun saya ni tak baik…terima kasih sebab bersangka baik dengan saya…”ucapnya dengan senyuman sayu. “Kenapa…”belum sempat aku menghabiskan soalanku,tiba-tiba sebuah kereta yang hilang kawalan terbabas ke tepi jalan lalu merempuh semua di hadapannya termasuk Zahra yang berdiri jauh sedikit dariku. Aku terpaku melihatnya terbaring kaku di hadapanku dengan tubuhnya yang berlumuran darah.
* * * * * * * * * * *

Sudah seminggu kejadian itu berlalu…Aku terlalu merindui sahabatku itu. Kelmarin,aku ke rumahnya dan bertemu dengan adik kesayangannya. Wajahnya saling tak tumpah dengan sahabatku itu. Aku terlalu merinduinya,ya Allah… Dia menyerahkan kepadaku sebuah buku usang yang tercatat di atasnya ‘Zahra’.Katanya aku patut membacanya. Dia juga memberitahuku bahawa hati Zahra telahpun berada di dalam tubuhnya kini atas pesanan yang Zahra tuliskan di buku usang itu. Seusai membacanya, air mataku berlinangan. Sungguh baru aku mengerti dirinya sepenuhnya kini. Selama ini Miza yang kupandang baik rupanya hanya bermuka-muka di hadapan orang lain supaya dikatakan seorang yang baik sedangkan hakikatnya selama ini dia terlalu banyak menyakiti Zahra dan adiknya. Dia sering memburuk-burukkan Zahra dan adiknya dan berbuat baik dihadapan orang tua mereka supaya mendapat perhatian mereka. Malahan, Miza juga berbuat begitu dihadapan orang lain sehingga orang lain menganggap Zahra lah yang tidak baik. Hatiku tertanya-tanya,apalah ertinya pandangan manusia jika dibandingkan dengan pandangan Dia yang sentiasa melihat dan maha mengetahui? Aku bagaikan terdengar-dengar kata-kata Zahra tentang kristal sebelum dia pergi. Sesungguhnya hatinya sungguh bersih…biarpun disakiti, dia tidak suka berkata mengenai keburukan orang lain….Hati itu terlalu bersih seperti kristal… Ya Allah,kurniakanlah aku hati sejernih itu,amin…


No comments:

Post a Comment